Struktur Soneta 29

Soneta 29 mengikut struktur asas yang sama dengan soneta Shakespeare yang lain, mengandungi empat belas baris dan ditulis dalam pentameter iambik, dan terdiri daripada tiga kuatrin berima dengan kuplet berima pada penghujungnya. Ia mengikuti pola rima tradisional Inggeris abab cdcd efef gg—akan tetapi dalam soneta ini rima b dan f adalah sama. Seperti yang dinyatakan oleh Bernhard Frank, Soneta 29 merangkumi dua seksyen dengan Pembicaranya meluahkan fikirannya yang murung dan tertekan semasa dalam oktaf pertama, kemudian menimbulkan imej yang lebih gembira dalam sestet terakhir.[2]

Murdo William McRae mencatatkan dua ciri struktur dalaman Soneta 29 yang dia percaya membezakannya daripada mana-mana soneta Shakespeare yang lain.[3] Ciri unik pertamanya ialah ketiadaan pola "apabila/maka". Biasanya, lapan baris pertama soneta mengemukakan satu masalah (pernyataan "apabila") yang kemudiannya diselesaikan dalam enam baris terakhir (pernyataan "maka"). Walau bagaimanapun, McRae menegaskan bahawa Pembicara dalam soneta ini gagal menghasilkan satu penyelesaian, mungkin kerana nilai diri yang amat rendah menghalangnya daripada dapat memberikan hujah yang sebenar, dan sebaliknya menggunakan kesimpulannya untuk menentang perasaan negatif dalam oktaf sebelumnya. McRae menyatakan bahawa pelencongan daripada gaya tradisional soneta ini mewujudkan perasaan soneta itu "terkoyak". Ciri unik kedua ialah pengulangan rima-b dalam baris 2 dan 4 ("state, keadaan" dan "fate, nasib") serta 10 dan 12 ("state, keadaan" dan "gate, gerbang"). McRae mengatakan bahawa penggunaan semula rima-b menarik semula perhatian pembaca kepada baris-barisnya, dan "puisi di dalam puisi" ini menyambungkan semula soneta ini dengan cara yang berkontras dengan pengoyakan asalnya.

Walau bagaimanapun, Shakespeare bukan sahaja mencipta pola dengan rima baris. Seperti yang dijelaskan oleh Frank dalam rencana beliau, Shakespeare mengulangi perkataan "state" tiga kali dalam puisinya, setiap kali merujuk kepada sesuatu yang berbeza. "State" pertama bermaksud "keadaan" Pembicara (baris 2), yang kedua kepada "keadaan" pemikirannya (baris 10), dan yang ketiga kepada "negeri" atau "keadaan" menjadi raja (baris 14).

Isu penggunaan semula rima-b ini diulas dalam sumber lain juga. Philip McGuire menyatakan dalam rencana beliau bahawa sesetengah orang memanggilnya satu "kecacatan teknikal yang serius", sementara yang lain berpendapat bahawa "penggunaan dua kali 'state' sebagai rima mungkin wajar, untuk menunjukkan perbezaan yang ketara antara keadaan terbuang Pembicara dan kegembiraan yang digambarkan dalam kuatrin ketiga".[4]

Paul Ramsey menegaskan baris ketiga khususnya sebagai "antara baris yang paling menggempurkan dalam bahasa kita".[5] Beliau khususnya menyorotkan suku kata yang ditekankan, "troub-", "deaf", dan "heav'n", bahawa ia terlalu rapat sehingga tidak harmoni, dan bahawa "'heav'n with' mungkin contoh yang paling dahsyat dalam mana-mana soneta dengan troki yang tidak mempunyai jeda dalam baris sebelumnya... Penekanan (suku kata) yang bertubi-tubi, pembalikan yang tiba-tiba, menerpa kepada penekanan yang ketara—semuanya menguatkan tangisan antiagamanya yang bergelora dan marah".[6]

Empat baris pertama boleh dianalisis seperti berikut:

  /  ×   ×   /    ×    /  ×   ×    /    / When in disgrace with Fortune and men's eyes,× /   × /    × /    × /   ×     / I all alone beweep my outcast state,×     /  ×   /    /      ×    ×  /   ×     / And trouble deaf heaven with my bootless cries,×    /   × /   × /   ×    /     ×  / And look upon myself and curse my fate, (29.1-4)
/ = iktus, rentak suku kata yang kuat. × = bukan iktus, tiada penekanan.

Baris dua dan empat sekata dari segi matra, tetapi ia berganti dengan baris (satu dan tiga) yang matranya lebih kompleks, dan ini konsisten sepanjang puisi.[7] Baris pertama bermula dengan perubahan dalam penekanan, dan diakhiri dengan iktus keempat bergerak ke kanan (menghasilkan satu pola dengan empat posisi, × × / /, kadangkala dipanggil ionik minor).

Walaupun irama baris ketiga luar kebiasaan, ia tidaklah begitu dahsyat seperti Ramsey katakan; baris enam Soneta 7 mempamerkan irama yang serupa cuma dalam keadaan yang lebih tenang.

Kedua-dua "deaf" dan "heaven" (di sini dibaca sebagai satu suku kata) mempunyai penekanan tetapi "deaf" lebih lemah daripada "heaven", membolehkan kedua-dua perkataan mengisi kedudukan ganjil/genap dengan baik tetapi bukan genap/ganjil. Apabila rentak ketiga diterbalikkan (seperti yang dinyatakan di atas), ia biasanya didahului dengan jeda kecil dalam intonasi. Akan tetapi, frasa "deaf heaven" tidak membenarkannya. Peter Groves menamakan hal ini "pemetaan keras" dan apabila mendeklamasi, saranan beliau: "perkara terbaik yang perlu dilakukan ialah memanjangkan suku kata-S yang lebih lemah [iaitu "deaf"] ... kesannya adalah untuk memberikan sedikit penekanan padanya".[8]